Sunday, June 14, 2009

Bagaimanakah pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah dapat memupuk semangat cintakan warisan bangsa dalam kalangan rakyat Malaysia?

Bidang pemuliharaan di Malaysia adalah merupakan satu revolusi yang semakin mendapat tempat di hati rakyat pada masa ini. Pemuliharaan adalah merupakan satu bidang yang melibatkan pengekalan dan penjagaan ke atas bangunan warisan daripada dimusnahkan dengan mengambil kira kepentingannya kepada negara dan masyarakat seperti faktor sejarah dan estetik yang terdapat pada sesebuah bangunan warisan. Kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan di Malaysia adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat kerana pemuliharaan bangunan juga merujuk kepada praktis mengekalkan kesemua nilai seni bina bangunan bersejarah. Justeru itu, usaha pemuliharaan adalah amat perlu dilakukan agar generasi yang akan datang berpeluang untuk melihat dan menikmatinya.

Dengan melalui amalan pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah dapat memupuk unsur patriotisme untuk membentuk warganegara yang bersemangat patriotik dan berkeperibadian Malaysia. Contohnya, Tugu Negara dapat mengaitkan tentang sesuatu peristiwa penting yang pernah berlaku suatu masa dahulu terhadap individu tertentu dalam masyarakat. Pemeliharaan dan pemuliharaan juga dapat mengingatkan warganegara Malaysia tentang kepentingan menghargai jasa dan perjuangan tokoh-tokoh negara. Pemeliharaan dan pemuliharaan menekankan kepentingan menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara (U.P.1).

Selain itu, dengan melalui aktiviti-aktiviti pemeliharaan da pemuliharaan bangunan bersejarah yang dijalankan oleh badan-badan dan jabatan warisan Malaysia juga dapat membangkitkan kepentingan nasionalisme melalui pembentukan minda terhadap generasi muda. Pemeliharaan dan pemuliharaan akan memupuk semangat cinta akan bangsa dan negara. Selain itu, semangat sedia berkorban kepada bangsa dan negara dapat ditingkatkan kerana mereka akan lebih menghargai dan peka kepada masalah dan isu tentang bangsa dan negara (U.P.2) melalui pengamatan dan penghayatan terhadap peninggalan bangunan warisan.
Pendidikan juga memainkan peranan yang penting dalam pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah untuk memupuk semangat berbudi pekerti mulia terhadap kalangan rakyat Malaysia, khususnya kepada para pelajar, pendidik dan pengkaji sejarah dalam usaha untuk menjalankan kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan bangunan warisan. Ini dapat membantu mereka berfikir dan bertindak wajar serta berkelakuan sopan, bertatasusila dan berhemah tinggi (U.P.4) kerana bangunan warisan memiliki elemen estetik dan reka bentuk seni bina yang menarik dan juga dapat membukti sesuatu peristiwa sejarah telah berlaku di Malaysia pada masa dahulu.

Pemuliharaan ialah tindakan untuk mengelakkan kereputan. Ia perlu mengambil kira semua perbuatan yang boleh memanjangkan usia warisan budaya dan warisan semula jadi bagi membolehkan sesuatu objek itu dipersembahkan kepada mereka yang mengguna dan melihat banggunan warisan itu agar berasa kagum terhadap nilai artistik dan gambaran yang boleh mempengaruhi fikiran seseorang. Dengan melalui aspek ini, dapat mengingatkan kita tentang semangat perjuangan tanpa takut kalah dan menggalakkan kita tentang kepentingan nilai rajin, berdikari dan tabah menghadapi sebarang cabaran (U.P.5).

Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga kerana dapat mengkaji bangunan bersejarah yang memberi saya pengalaman dan segi mencari maklumat. Saya juga memperoleh pengalaman dari segi wujudkan kerjasama antara rakan, peluang mewawancara bersama mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membentuk atau pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan ini. Selain itu, pengkajian ini juga menaikkan semangat patriotisme saya kerana dengan mengenali dan mengkaji bangunan bersejarah, saya dapat lebih menjiwai dan mencintai negara saya. Seperti yang disebut dalam peribahasa Melayu, “Tak kenal maka tidak cinta”.

1 comment:

Siti Nur Hazwani said...

hai,saya suke baca karangan awk..seronok sangat :D btw,boleh x awk share dgn saya cara2 awk belajar dan ulangkaji...saya harap awak dpt berkongsi pengalaman awk bersama saye.terima kasih :D