Sunday, October 2, 2011

kes buang bayi



Kes pembuangan bayi semakin bertambah setiap tahun dan belum menampakkan penuruhan. Pada Januari tahun ini sahaja, sebanyak 19 kes buang bayi yang dilaporkan.
Amat mengejutkan apabila meneliti statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dengan kes buang bayi di negara ini sejak 2005 hingga Januari tahun ini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin mendedahkan bahawa sebanyak 517 kes buang bayi direkodkan dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.
Menurut Bakri juga, kes pembuangan bayi semakin bertambah setiap tahun dan belum menampakkan penurunan. Pada Januari tahun ini sahaja, sebanyak 19 kes buang bayi yang dilaporkan.
Berdasarkan rekod, daripada jumlah keseluruhan bayi yang dibuang, 203 orang bayi lelaki, 164 orang orang bayi perempuan, dan 150 orang bayi lagi tidak diketahui status jantina kerana dilahirkan ketika belum cukup sifat.
Kes yang paling banyak dilaporkan adalah pada 2008, iaitu 102 kes dan diikuti rekod kedua tertinggi, iaitu 91 kes pada 2010. Sepanjang enam tahun tersebut juga, hanya 37 orang suspek yang berjaya ditahan bagi membantu siasatan termasuk empat orang pada tahun ini. Hal ini menunjukkan bahawa masih banyak pelaku jenayah ini yang masih bebas dan belum dibawa ke muka pengadilan.
Pendedahan statistik daripada PDRM ini membawa kepada beberapa persoalan yang memerlukan perhatian semua pihak. Adakah masyarakat mahu terus membiarkan gejala ini berlarutan? Apakah punca yang membawa kepada berlakunya gejala ini? Sejauh manakah pula masyarakat memainkan peranan dalam membantu menangani gejala ini?
Persoalan seperti ini sering kali dilontarkan oleh pelbagai pihak sejak kes buang bayi yang berlaku secara serius beberapa tahun kebelakangan ini. Banyak pihak yang meramalkan bahawa kes buang bayi pasti terus meningkat dari tahun ke tahun berikutnya.
Walaupun pelbagai program dan kempen kesedaran dianjurkan oleh pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi yang berkaitan, serta masyarakat, hasilnya masih belum membanggakan. Malah pendedahan statistik daripada PDRM baru-baru ini menyebabkan kebanyakan program yang dibuat tersebut diragui keberkesanannya.
Tanggungjawab menangani kes buang bayi bukan hanya terletak di bahu PDRM atau agensi kerajaan. Hakikatnya tanggungjawab mencegah dan menangani kes ini perlu dipikul bersama oleh ibu bapa dan masyarakat secara menyeluruh.
Ketika ini, peranan PDRM dan juga agensi kerajaan yang lain terutama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah cukup jelas dan boleh dibanggakan. Mereka melaksanakan pelbagai program pencegahan dan juga penguatkuasaan untuk membantu mengurangkan kes pembuangan bayi.
Menurut Bakri, peranan ibu bapa cukup penting dalam menangani kes buang anak kerana mereka perlu mengukuhkan institusi kekeluargaan , di samping menjadi contoh terbaik kepada anak-anak serta memantau pergaulan anak-anak.
Kenyataan Bakri tersebut cukup signifikan untuk direnungi bersama. Semua pihak perlu mengakui bahawa segalanya bermula dari rumah. Bukankah seorang bayi yang dilahirkan itu diumpamakan kain putih yang dicorakkan warnanya mengikut acuan yang dikehendaki ibu bapa mereka?
Ibu bapa perlu memberikan didikan ajaran agama dan disiplin diri yang kukuh sebagai perisai masa depan anak-anak mereka. Kegagalan mereka dalam menjalankan tanggungjawab ini dilihat sebagai antara punca penularan kes buang bayi.
Kegagalan ibu bapa menguruskan keluarga dengan baik juga dilihat sebagai satu lagi punca kepada kes ini. Peningkatan kes penceraian ibu bapa misalnya menyebabkan anak-anak mereka terbiar tanpa hala tuju. Pada masa yang sama, keghairahan ibu bapa mengejar harta dan kemewahan dengan terlalu mengutamakan pekerjaan masing-masing sehingga tiada masa untuk bersama anak-anak di rumah juga merupakan antara penyebab kerapuhan institusi kekeluargaan, sekali gus menyumbang kepada pelbagai masalah disiplin, sosial, dan salah laku dalam kalangan remaja termasuk kes buang bayi.
Kajian PDRM mendapati bahawa, antara lokasi yang sering menjadi tempat buang bayi ialah kawasan perumahan, tempat pembuangan sampah, tepi jalan, masjid, sungai, semak-samun dan tandas. Kebanyakan lokasi terbabit merupakan tempat umum yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai setiap hari.
Berikutan itu, keprihatinan masyarakat sekeliling seperti di kawasan perumahan pasti mampu membantu mengurangkan gejala ini. Peranan masyarakat perlu dipertingkatkan dan diperluas lagi jika semua pihak mahu isu ini ditangani secara menyeluruh.
Semua pihak tidak boleh lagi berpegang pada konsep tidak mahu “menjaga tepi kain orang”. Dalam menangani isu nasional seperi ini masyarakat perlu mengambil tahu apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka dan tiada salahnya bersikap sedemikian asalkan niatnya betul dan ikhlas hendak membantu.
Hakikatnya, tanggungjawab untuk menangani gejala buang bayi ini perlu dipikul bersama oleh semua pihak. Maksudnya, semua pihak perlu berganding bahu bagi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan sebuah masarakat yang bertamadun dan bebas daripada gejala sosial.
Negara perlu dibangunkan oleh masyarakat yang bertamadun dan progresif untuk terus mara ke hadapan terutamanya menjelang Wawasan 2020 yang menjadi nadi dan kunci kepada transformasi pembangunan negara.